Monday, August 3, 2009

Setelah Sekian Lamanya......!!!

KEMBALI LAGI.....!!!!! Mungkin ini ungkapan yang paling sesuai untuk menjelaskan kenapa post ini ada dalam blog ni. Fuhh..dah lamnaya tak menaip blog ni. Kalau hendak diikutkan, hampir setahun dah tak menulis dalam blog ni. Sebelum ni, ada juga merancang untuk tulis masa sem lepas. Kononnya lah kan. Tapi dek sibuk plak masa tu menjadi Project Manager untuk event Titian Budi, maka lupus lah niat yang suci itu. Tapi tidak mengapa. Masih belum terlambat rasanya untuk sambung balik ber”penglipu lara”

Sebenarnya bukan saja-saja nak sambung menulis balik ni. Tapi, teringat ada sekali tu ada orang pesan yang betapa indahnya hidup di alam universiti. Semua perkara boleh buat dengan aman. Maksudnya, kita ni masih belum ada tanggungan yang sah untuk difikirkan. Ada betulnya kata-kata tu. Lepas teringat kata-kata tu, mulalah fikiran ini melayang-layang memikirkan apa saja yang boleh di buat masa di universiti ni. Salah satunya ialah menulis blog. Jadinya, kenalah mulakan semula menulis blog ni nampaknya. Dulu masa jadi MPP, beriya sungguh suruh orang tulis blog. Kononnya untuk kita menyampaikan apa sahaja pandangan as student kepada orang ramai. Tapi lepas tu, ermm…faham-faham sendiri je lah. Takut gak ditempelak dek kata-kata sendiri kalau sendiri pun tak boleh nak buat.

So, harap-harapnya adalah sedikit improvement selepas ni. Dalam hati ni masih lagi tertanya-tanya macam manalah nk tulis blog ni. Ye lah kan. Sekarang ni duduk sesorang dekat Mempaga, susah sedikit lah nak dengar cerita-cerita panas ni. Neway, kita tengoklah apa yang bakal berlaku nanti……


Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang hanya dihafaz semata-mata-Imam Syafi'e


Tuesday, November 4, 2008

Usrah di Zoo Taiping


Setelah sekian lama tidak menaip untuk blog kesayangan ini, kali ini diberikan tuhan peluang untuk saya kembali menaip. Terpaksa mencuri sedikit masa study sebenarnya untuk menaip ni. Tapi tak mengapalah. Lepaskan gian sedikit, berbaloi kot rasanya.

Isu kali ini yang ingin dikongsikan bukanlah isu nasional, kampus mahupun yang seangkatan dengannya. Akan tetapi minat untuk saya kongsikan mengenai aktiviti usrah saya baru-baru ini. Kami seramai 10 orang telah pergi ke Zoo Taiping (Night Safari) bagi menjalankan aktiviti usrah kami. Maklumlah, dah hampir sebulan tidak ketemu secara rasmi, alang-alang tu, buatlah gempak sedikit.

Petang 31/10/2008 menjadi titik mula musafir kami dengan keadaan segala persiapan telah disediakan. Walaupun petang itu ada test, namun hakikatnya ia tidaklah sedikit pun membantutkan segala persiapan jauh lagi membantutkan niat untuk pergi. Tentatif sudah disusun, matlamat telah jelas, ahli sudah cukup, kereta dah panas. Apa lagi ditunggu, kami bertolak seawal lepas maghrib. Dikhuatiri kalau lambat akan tutup pula zoo itu nanti. Tepat jam 10.00 malam, kereta berjaya diparking dikawasan berhampiran zoo. Seperti dijangka, kehadiran kami disambut dengan kesunyian. Maklumlah, siapa pula nak masuk zoo malam-malam macam ni kalau bukan kami sahaja. Tiket berharga RM10 dibeli untuk 10 orang. Deguapan jantung yang girang bagaikan pemangkin semangat untuk kami jajah zoo taiping pada malam itu.

Ketika didalam zoo, banyak sungguh ciptaan tuhan yang sering dilepas pandangkan oleh kita dalam hidup sehari-hari ini. Burung-burung, ikan , haiwan liar, haiwan jinak dan sebagainya sungguh menarik untuk dilihat. Tapi malangnya penglihatan kami ini tidaklah sebaik burung hantu kerana waktu malam sudah semestinya cahaya membataskan kami untuk melihat semua haiwan. Ada tu, hanya sekadar bayang-bayangnya sahaja yang mampu kami lihat. “ini kene claim balik ni duit. Satu binatang tak ampak, RM1”, sinis sahabat-sahabat yang sememangnya mengharapkan untuk tengok semuanya pada malam itu. Maklumlah, ada diantara kami ni, dah lama sangat tidak masuk ke dalam zoo. Kegeringan dihati disertakan dengan guraun senda dan gelak ketwan yang memecah keheningan malam itu sudah cukup untuk membuktikan zoo itu, “kami yang punya”. Mana tidaknya, orang yang lalu sebelah kami pun, pasti akan menoleh beberapa kali. Mungkin mereka ingatkan kami ini bebudak tadika masuk zoo kot. Perjalanan memakan 2 jam itu kami akhiri dengan beberapa sesi fotografi di sekitar luar zoo yang bercahaya sedikit. Kami sedikit kecewa semasa keluar dari zoo kerana tidak berkesempatan untuk naik keretapi yang disediakan. Dah tutup semasa kami Tanya tu.ish..ish..ish.. Di luar pula, keluhan seorang sahabat dapat didengari kerana tidak dapat untuk ambil gambar semasa didalam kerana gelap. Apalagi, bergaya sakan lah memasing ketika bergambar kat luar.

Detik jam 12 pada ketika itu ditambah dengan kepenatan berjalan selama 2 jam, tidak memberatkan kami untuk meneruskan agenda terpenting kami iaitu liqa’ usrah. Bergeraklah kami mencari masjid sekitar Taiping kerana nak bersolat Isya’. Risau juga kalau sesat. Tetapi kerisauan itu hanya sebentar sahaja kerana taiping ni kawasan tempat tinggal naqib kami. Dia dah cam dah segala jalan kat sana. Akhirnya sampai juga di sebauh masjid yang tidaklah diketahui namanya. Selesai solat, liqa’ kami dimulakan. Disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan, terpaksalah kami berliqa’ di masjid sahaja. Tidak mengapalah, yang penting adalah pengisiannya yang boleh mengetuk hati-hati yang hadir pada masa itu.

Majlis dimulakan seperti biasa dengan kali ini Abg Hakim(naqib kesayangan) membaca ayat dari surah Al-Mukminun.Erm..lama juga tidak membaca ayat ni. Hampir terlupa ayat ini oleh kami semasa ditasmi’ oleh naqib kami. Hehe. Intisari ayat itu jelas menerangkan ciri-ciri orang yang berjaya dalam dunia ini. Cumanya kali ini, nilai-nilai dalam ayat itu diterjemahkan oleh naqib kami dalam konteks masa dan waktu ketika ini. Yakni pada waktu study week ni. Point yang hendak ditekankan ialah perlunya focus dalam belajar,jauhi perkara-perkara lagho, dan sentiasa menjaga sifat kemaluan masing-masing. Pelbagai hujah disertakan dengan dalil aqli dan nakli yang disampaikan bagaikan membawa kami ke satu alam yang lain. Terlalu tersentuhnya hati-hati ini mendengar nasihat dari naqib kami ini. Ini sememangnya menjadi lumrah kepada kami setiap kali liqa’ usrah dijalankan. Kemudian kami mereview semula perjalan kami dalam zoo tadi. Yelah, apa gunanya jika tidak mengambil pengajaran dari apa yang kami telah lakukan tadi. Sia-sia sahaja datang sejauh itu jika tiada apa yang boleh dibawa balik. Seperti dijangkakan, naqib kami sekali lagi menghuraikan keperluan untuk kita sentiasa membandingkan diri kita dengan haiwan kerana kita ini sentiasa lebih teruk dari haiwan sebenarnya.Sebelum bersurai, kami diberi peluang untuk meluahkan sepatah dua kata. Bisalah, ini kan usrah terakhir kami untuk semester kali ini. Pada awalnya, semua orang mengelat untuk bercakap. Biasalah tu, tiada idea lah katakan. Seorang sahabat pula memulakan tugasnya pada setiap kali liqa’ wida’ iaitu merekod segala ucapan sebagai tanda kenang-kenangan. Alhamdulillah, semua dapat memberikan sepatah dua kata pada akhir sesi. Terlalu berat kata-kata sahabat sekalian. Segala pandangan, perkongsian, teguran dan keprihatinan anda yang diterjemahkan dengan kata-kata yang amat menyentuh hati ini akan dikenang sampai bila-bila. Hati ini bagaikan mahu menangis pabila mengenangkan betapa bertuahnya saya mempunyai sahabat yang sebaik dan sehebat ini. Syukur tuhan kerana nikmat ini, Kau kurniakan kepada kami. Tidak termampu untuk kami balas melainkan terus istiqamah dalam jalanMu ini yang sentiasa manjanjikan onak dan duri sebagai teman yang rapat dengan kami.

Setelah selesai berusrah, kami terus ke agenda yang penting, iaitu makan malam. Sian tengok sahabat-sahabat ni. Lapar dah mereka. Saya pun kelaparan juag, tetapi tidaklah selapar seseorang itu. Hehe. Kami singgah kedai makan tomyam dekat pekan tu. Semua order menu masing-masing. Yang seronoknya, dekat dalam menu tu ada lauk rusa. Disebabkan semangat ingin mengenali haiwan ini, saya orderlah satu. Maklumlah, tak pernah merasa lagi daging dia. Seronok juga rasanya masa order tu. Dalam nak tunggu makanan sampai, sempat jugalah kami berbual-bual kosong sedikit. Kami kalau dah berkumpul, pasti akan ade sahaja isu yang akan dibincangkan. Sebut sahaja satu topik, pasti lebat sahaja perbincangan kami. Tengoklah naqibnya siapakan? Tidak lama selepas itu, makanan kami sampai. Perut yang kosong bagaikan memaksa kami khusyuk untuk menikmati makanan. Daging rusa ni, sedap juga rasanya. Tapi tiada beza sangat dengan daging lembu pun. Selepas selesai makan, UTP sudah pasti menjadi destinasi kami seterusnya. Saya dan seorang sahabat lagi menggagahkan diri untuk memandu walaupun ketika itu sudah jam 3.30 pagi. Kereta yang saya pandu terpaks dilencongkan ke Gopeng terlebih dahulu bagi menghantar seorang sahabat ini yang ada urusan utama untuk diselesaikan. Alhamdulillah kami sampai seawall 5.30 pagi. Singgah di masjid untuk tidur sebentar dan solat subuh berjemaah sebelum pulang ke bilik. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan ekspidisi ini termasuklah tuan punya kereta. Segala jasa dan budi baik kalian, amat dihargai.



Fakta menarik



1) Rancangan menziarahi zoo ini sudah hampir setahun ditangguhkan. Walaupun dah lama ditangguhkan, tetap juga buat kerana ada seorang sahabat ni rasa mengidam sangat nak pergi sana.


2) Seramai 36 orang telah dijemput untuk ikut sama. Tetapi hanya kami sahaja yang berjaya sampai. Yang lain ada urusan yang hendak diselesaikan di kampus.


3) Kami adalah pembeli tiket night safari berharga RM 10 yang terakhir. Ini kerana, mulai 1/11/2008 harga tiket akan naik kepada RM16 ‘sejajar’ dengan penurunan harga minyak.


4) ‘Jokut’ adalah haiwan tema kami pada malam itu.



- semuanya bersemangat nak masuk.kesian mak cik kat kaunter tu melayan kami -

- inilah aksi paling sopan yang kami boleh buat. sume dah penat nk jalan.jgn lupe usrah sudah -

- aksi yang diperlihatkan menunjukkan kami 'bangga' dapat sampai sini -

- relax r beb. jangan r tension sangat harga tiket dah naik, x de maknenya pun kat kita -

- kenapalah zoo nie ade opis hour. bukak aje r sampai pagi. tidak....!!!!! -


Jangan engkau percaya melihat kegagahan seorang lelaki. Tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya daripada menganiayai sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya -Khalifah Umar al-Khattab



Sunday, September 14, 2008

3 ORANG DI TAHAN ISA


Isu penahanan 3 orang ternama di bawah Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini amat mengejutkan semua pihak terutamanya penahanan seorang Exco Kerajaan Selangor, Teresa Kok yang merupakan seorang wakil rakyat. Tindakan yang dianggap tidak releven ini telah membangkitkan kemarahan orang ramai. Sebab-sebab penahanan mereka adalah kerana respon mereka terhadap beberapa isu yang boleh mengundang kepada suasana huru hara kaum di Malaysia. Berdasarkan pengamatan saya berkenaan kes ini dengan mengambil kira ladskap politik Malaysia sekarang sebagai rujukan, ada beberapa perkara yang saya kira cukup menarik untuk dikongsikan bersama.

Antaranya :

  • Penahan mereka menunjukkan kerajaan kononnya amat prihatin kepada isu-isu perkauman yang sememangnya menjadi nadi perjuangan kepada beberapa parti politik di Malaysia.

  • Kerajaan mungkin sedang cuba mengalihkan perhatian umum sekarang ini yang sememangnya sedang terarah kepada 16 September yang digembar-gemburkan akan merubah kerajaan.

  • Penahanan Teressa juga mungkin sebagai langkah menyukarkan lagi proses peralihan kuasa kepada pakatan rakyat.

  • Pembebasan wartawan, Tan Hoon Cheng mungkin adalah ‘umpan’ kerajaan dalam meraih kepercayaan rakyat dalam ketelusan pihak-pihak berkenaan mengendalikan kes ini.

  • Tindakan ISA ini sedikit berbeza jika dibandingkan dengan tindakan yang dikenakan kapada ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail walaupun isu yang dibangkitkan adalah setara dengan kes beliau.

  • Isu ini mungkin akan dimanipulasikan oleh mana-mana pihak untuk mengadakan kacau-bilau di nagara ini.

  • Memberi peringtan kepada semua orang bahawasanya dalam memberikan pendapat mengenai isu perkauman dan agama kita haruslah berhati-hati dan perlulah melalui medium yang sesuai agar tidak disalah tafsirkan apa yang hendak disampaikan.

Cukuplah dulu apa yang hendak dikongsikan oleh saya. Cumanya, rakyat haruslah bijak dalam memandang sebarang isu. Jangan menjadi orang yang hanya menerima input sahaja, sebaiknya, kita menjadi golongan yang mampu merespon ataupun sekurang-kurangnya mampu untuk berfikir sendiri dalam menafsir data. Dalam isu ISA ini, saya mendoakan agar semua tahanan berkenaan dibebaskan dan jika benar-benar disabitkan kesalahan, haruslah dibawa kepada muka pengadilan untuk diadili dengan seadil-adilnya. ISA teramat zalim untuk dipraktikan di masa ini. Mungkin gelaran ‘undang-undang rimba’ yang di labelkan kepada ISA ini amat releven sekali. Moga-moga artikel ini tidak mengheret saya untuk terjebak sama dengan RP dan YB Teresa di ISA.AMIN…

"Barangsiapa menempatkan dirinya di tempat yang dapat menimbulkan persangkaan, maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk kepadanya "-Saidina Umar al-Khattab


Monday, September 8, 2008

Pemberian Tanah Percuma

Geram, marah, terkilan, sedih dan macam-macam perasaan lagi yang saya rasakan tika ini apabila sempat di beri peluang membaca ruangan akhbar utusan hari ini (5/9/08). “Kerajaan Perak disifat berat sebelah” adalah tajuk berita yang telah menyebabkan darah muda saya ini kembali menyirap. Sekali imbas pada tajuk akhbar berikut, mungkin ramai yag akan menganggap sudah tentu isu politik yang hendak diperkatakan oleh saya dalam artikel kali ini. Tidak sama sekali sahabat-sahabat sekalian. Apa yang hendak diperkatakan kali ini sebenarnya menjangkaui lebih dari isu politik semata-mata. Jika kita lihat isu ini, ianya bukanlah permasalahan pemimpin Negara kita sahaja, tetapi sebenarnya ini adalah masalah rakyat Malaysia sendiri. Rasa bertanggungjawab kepada Negara ini telah memanggil saya sekali lagi untuk menaip bagi berkongsi pendapat dengan pembaca sekalian.

Jika anda seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa, sudah tentu isu ini bukan lagi asing buat anda pada masa sekarang ini. Isunya adalah kerajaan Perak yang memerintah sekarang telah bersetuju untuk memberikan 400 hektar tanah kepada 9 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) untuk diusahakan oleh pihak sekolah sendiri. Artikel dari akhbar Utusan Malaysia hari ini telah mengeluarkan kenyataan dari Menteri Pelajaan Malaysia sendiri iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung respon yang diberikan berkenaan isu ini.

Amat mendukacitakan apabila mendengar pandangan seorang menteri memberikan komen yang sedemikian rupa. Yang lebih tidak boleh diterima ialah ianya datang dari menteri pelajaran sendiri. Respon yang diberikan adalah hampir sama dengan beberapa ‘orang besar negara’ yang mengecam kembali apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri perak ini. Mereka membangkitkan isu dimana keadilan yang harus diberikan oleh kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah lain termsuklah sekolah agama, sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah mubaligh di negeri itu. Mereka melabelkan kerajaan negeri berat sebelah memandangkan agihan bantuan untuk pendidikan di setiap sekolah tidak diberikan sama rata. Hanya kepada sembilan sekolah cina sahaja yang diberikan.

Sebenarnya maklumat yang saya baca sebentar tadi amatlah bercambah dengan berita yang saya perolehi sebelum ini dari sebuah laman web yang turut menguraikan secara lebih terperinci mengenai pengagihan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah di sekitar perak oleh kerajaan negeri. Dalam ulasan yang telah diberikan ada menyebut yang sebenarnya proses pengagihan bantuan keweangan masih lagi sedang dijalankan. Cumanya dalam kes ini, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menukar bentuk bantuan kewangan dengan memberikan sebidang tanah untuk diusahakan. Jika sebelum ini pihak kerajaan akan menganugerahkan RM 30,000 setahun, sekarang digantikan dengan 400 hektar tanah pajakan selama 30 tahun untuk diusahakan penanaman kelapa sawit. Strategi ini amat positif bagi jangka panjang kerana sedikit sebanyak akan memberikan jaminan dan kebebasan untuk sekolah berkenaan mengusahakan sumber kewangan mereka.

Permasalahan yang berlegar di kepala saya sekarang ini ialah kenapakah si menteri ini memberikan respon yang negative dalam perkara yang saya kira membantu secara langsung kepada sekolah-sekolah di perak untuk bergerak lebih kehadapan. Dari satu sudut kita melihat si menteri ini ingin manjadi jaguh kampung dengan memainkan isu ketidakadilan kepada sekolah-sekolah agama yang sememangnya daif dari sudut kewangan. Memainkan isu perkauman dan agama di negeri yang diperintah oleh kerajan pakatan rakyat dianggap sudah menjadi trend bagi kerajaan yang memerintah sekarang dalam menjalankan agenda politik masing-masing. Habis semua ruang yang digunakan. Sampai kepada isu pendidikana anak-anak bangsa pun sanggup dijadikan medan pertelingkahan. Kenapa anda menjadi kalut sangat wahai si menteri?

Saya sedikit kecewa kerana tindakan si menteri ini langsung tidak menampakkan sifat tanggungjawab secara telus dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang sememangnya telah lama terkubur keberkesanannya kesan dek kerakusan ahli politik sekalian dalam menjadikan medan pendidikan ini juga sebagai medan berpencak. Kasihan saya melihat kepada adik-adik saya yang diluar sana. Apakah salah mereka yang sehinggakan mereka ini menjadi mangsa kepada pemerintahan yang zalim ini. Wahai si menteri, cuba anda tengok kembali apa yang dah berlaku pada anak bangsa kita. Kita sedar yang anak bangsa kita perlu untuk sentiasa maju dalam bidang pendidikan. Tetapi idea pembelajaran subjek sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah dijalankan dalam sistem pendidikan negara kita menyebabkan ramai anak-anak bangsa melangkah bertapak-tapak kebelakang, dan hanya segelintir sahaja yang berjaya kehadapan. Inikah bukti yang boleh mengatakan anda pejuang sebenar kepada pembangunan pendidikan Negara? Ataupun mungkin usaha-usaha yang telah anda jalankan dengan menyekat perjalanan sekola agama rakyat dan pondok di negeri yang anda perintah dahulu boleh menjadi hujah kukuh bahawasaya andalah pemacu generasi masa hadapan yang sebenar?

Malulah anda wahai si menteri. Silap sungguh langkah anda jika mahu berbicara tentang keadilan kepada anak bangsa dengan kapasiti kerja-kerja anda itu menjadi bayang-bayang segala tuduhan yang anda lontarkan. Pihak kementerian seharusnya melihat segala usaha kerajaan negeri itu sebagai satu peluang untuk kementerian bekerjasama dalam usaha membangunkan sekolah-sekolah di Malaysia. Elakkanlah menjadikan media sebagai medan untuk meluahkan rasa tidak puas hati, cabar mencabar, kutuk mengutuk dan sebagainya. Akibatnya adalah amat negative sekiranya ada pihak yang memanipulasikan isu berkenaan yang boleh membawa kepada keadaan yang kurang selesa kepada rakyat.Selesaikanlah segala isu secara damai dan hendaklah telus memberi maklumat kepada rakyat agar kami ini boleh menilai secara baik.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kementerian pendidikan mengkaji semula sistem pendidikan negara kita daripada kita mencari kesalahan orang lain. Ambillah ikhtibar dengan segala apa yang berlaku bagi memastikan agenda melahirkan modal insan yang berkualiti dalam aspek pendidikan menjadi impian yang realiti terutama untuk genarasi yang akan memerintah egara ini. Jangan kerana politik, anak-anak bangsa menjadi taruhan perjudian anda.


Artikel rujukan

-UTUSAN MALAYSIA

-HARAKAH DAILY

"Kalau engkau berasa berkuasa untuk membuat aniaya kepada hamba Allah, ingatlah pula bahawa Allah lebih berkuasa membalasnya "-Saidina Umar bin Al-Khatab

Friday, September 5, 2008

Student Café Committee


Respon kepada beberapa komen yang dilontarkan kepada SCC (Student Café Committee). Sebagai pihak yang bertanggungjawab penuh atas penubuhan SCC ini, saya akan mengulas dengan lebih lanjut berkaitan isu café ini. Sebelum mengorak langkah, eloklah saya menghuraikan sedikit latar belakang mengenai penubuhan SCC ini sendiri.

MPPUTP telah memandang serius isu dan aduan-aduan mengenai café yg dilontarkan oleh pelajar UTP sejak tahun 2007 memandangkan hal ini melibatkan semua pihak termasuklah pelajar, pengusaha café, dan juga pihak pentadbiran UTP. Justeru , segala usaha digembleng bersama bagi membawa suara pelajar UTP ke saluran yang sepatutnya. Mesyuarat bersama pengurus café dan juga pihak pentadbiran UTP telah dirancang dan diadakan pada 26 March 2008 dan 2 April 2008 bertempat di bilik mesyuarat MPPUTP. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh saya sendiri. Dalam mesyuarat tersebut,kami telah membincangkan beberapa perkara dalam memastikan hak pelajar terbela termasuklah aduan-aduan yang telah dilaporkan.Hasil perbincangan tersebut, wujudlah Resolusi Café sebagai perjanjian dan persetujuan antara pelajar dan pengusaha café itu sendiri.

Kehadiran Resolusi Café ini telah membuka ruang kepada pelajar dalam mempertahankan hak kita secara berkesan. Pada masa yang sama, SCC telah dipersetujui untuk dibentuk memandangkan keadaan semasa sekarang yang memerlukan medium bagi menyampaikan komen dan aduan mengenai café .

Penubuhan SCC ini amat penting dalam menentukan kuasa sebenar sebagai seorang pelajar memandangkan suara pelajar sebelum ini hanya dipandang enteng oleh sesetengah pengusaha café.SCC ini diibaratkan satu jawatankuasa khas ataupun suruhanjaya bebas yang ditubuhkan oleh MPP dan RCSU yang terdiri daripada pelajar yang berminat untuk memperjuangkan hak pelajar .

Mendapat khidmat nasihat terus dari pihak Jabatan HSE UTP, SCC kini sedang menjalani proses penubuhan memandangkan agenda dan objektif penubuhan SCC ini adalah besar. Perancangan yang teliti amat diperlukan dalam memastikan segala gerak kerja SCC akan menghasilkan momentum yang amat besar dikalangan pelajar dan juga pengusaha café. Seharusnya SCC ini menjadi medium terbaik untuk pelajar dalam mengutarakan sebarang aduan mahupun idea dalam hal berkaitan café baik untuk sekarang atau akan datang memandangkan ianya adalah milik semua.

Berkenaan dengan aduan-aduan yang telah diutarakan di blog ini, kami sentiasa memandang positif kepada aduan anda kerana ianya amat membantu dalam mendapatkan gambaran sebenar café-café ini beroperasi. Kekurangan aduan dan sokongan dari anda adalah kesukaran yang besar bagi kami dalam menyelesaikannya jika masalah yang diadukan benar-benar berlaku dikalangan kita seperti kes keracunan makanan dan juga harga makanan yang sering tidak menentu.

Untuk makluman semua, pada awal semester ini (Julai 2008), MPPUTP telah menghadiri satu mesyuarat khas bersama dengan pihak pentadbiran UTP dan juga dengan semua pengusaha café bagi mengatasi masalah kenaikan harga makanan, hasil tempias daripada kenaikan harga minyak dunia. Hasil perbincangan telah dipersetujui dengan pihak pentadbiran UTP bersedia membantu mengurangkan kos sewa yang dibayar oleh pengusaha dengan syarat beberapa harga makanan berada dalam kawalan. Sebagai contoh, harga bagi air kordial hanyalah sekadar RM 0.70. Sebagai balasan, para pengusaha café tidak perlu membayar sewa ketika cuti penggal nanti. Sebagai tanda persetujuan, pihak pengusaha diminta untuk membuat kertas kerja berhubung dengan idea ini. Malangnya, sehingga kini masih tidak ada respon dari mereka. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa mereka sememangnya tidak beminat untuk bekerjasama memandangkan ada beberapa café yang masih memandang remeh dalam hal berkaitan pelajar ini. Memandangkan hal ini pada asalnya di luar kawalan MPPUTP dan perkara ini tidak dipandang serius oleh semua, maka tindakan tegas dan segera akan diambil. Sebarang perkembangan akan diberitahu kemudian.

Selain itu, ada beberapa perkara yang kami rasa perlu untuk kita perkongsikan sebagai seorang pelajar. Justeru itu, pihak SCC akan menyampaikan beberapa maklumat yang akan diberitahu kemudian. Antara yang menarik untuk anda ketahui ialah:

§ Senarai harga makanan di setiap café

§ Inspection yang telah dijalankan sebanyak 3 kali

§ Tindakan yang diambil hasil dari aduan – aduan anda

Besarlah harapan saya agar artikel ini sedikit sebanyak dapat menjawab sebarang permasalahan yang saya kira sememangnya sedang berlegar-legar di fikiran anda sekarang. Dari pihak SCC kami memohon maaf secara terbuka seandainya kekurangan yang ada sekarang memberi kesan yang besar kepada semua. Secara jujurnya, proses penubuhan SCC ini amat berat. Hanya dengan sokongan anda dari segi doa dan juga idea yang bernas sahajalah dapat meringankan sedikit beban dibahu kami ini. Sekian, terima kasih.

"Keadilan itu syurga bagi orang yang dizalimi tetapi keadilan itu adalah neraka bagi orang-orang yang bersifat zalim"- Saidina Umar bin Al-Khatab

Friday, August 29, 2008

Pabila ‘semangat’ berbicara


Erm…Alhamdulilah hari ini adalah permulaan kepada hujung minggu yang saya rasa akan membawa erti yang besar kepada diri ini. Selepas solat jumaat tadi, sempat juga menjengok blog-blog sahabat seperjuangan yang selama ini tak sempat langsung hendak diklik link mereka ni. Satu pujian haruslah di berikan kepada semua memandangkan kadar pertumbuhan blog dikalangan sahabat ini bolehlah dikatakan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Biah blog yang diwujudkan mampu menjadi muzik iringan bagi jari-jari ini menari di atas keyboard masing-masing. Yang lebih menarik, setiap blog ini ada sahaja tema yang hendak dibawa. Ada yang memang suka menaip artikel ilmiah. Ada yang suka copy paste dari mana blog mengenai isu terkini. Ada juga yang berminat menulis perjalanan hidup masing-masing. Yang lebih mengagumkan, ada juga yang nak promote komik masing-masing. MasyaAllah. Luasnya ilham yang Engkau berikan kepada insan-insan yang lemah ini.

Tidak mahu ketinggalan dengan jumlah post sahabat-sahabat yang tersayang, saya merasakan perlunya untuk diri ini mempergiatkan lagi usaha penulisan yang sedia ada. Mungkin sebelum ini semangat 100% tuk menulis. Rasanya perlulah dipertingkatkan kepada 120%. Ini penting agar kita tidak menjadi lesu di kemudian hari dek gagalnya kita dalam meningkatkan semangat dalam diri ini. Semangat bersaing yang saya kira wujud dalam kes ini harus di manipulasikan sebaiknya kerana lumrah manusia adalah untuk bersaing. Tetapi sejauh manakah kita sedar yang sebenarnya persaingan sentiasa membawa kepada kebaikan dan keburukan kepada kita???

Mengulas sedikit budaya penulisan yang sedang berkembang ini, satu budaya yang sihat lagi bermanfaat untuk kita amalkan dimana-mana sahaja. Blog adalah salah satu lapangan yang ada sekarang ini dan lebih senang digunakan. Kalau kita kembali kepada zaman silam yakni tahun 70an dan 80an,blog bukanlah medium yang ada ketika itu. Sebaliknya banyak hasil-hasil karya penulisan diterjemahkan dalam bentuk buku ataupun rencana dalam mana-mana media cetak ketika itu. Sesungguhnya, tidak dinafikan kebanyakan hasil penulisan ini tidaklah sia-sia, malah sehingga sekarang ada sahaja yang mampu untuk menjadi bahan rujukan. Point yang hendak ditekankan disini adalah hasil penulisan boleh menjadi amat berharga dan amat bernilai. Jika bukan sekarang, mungkin kemudian nanti. Kalau bukan hari ini, mungkin pula esok lusa. Kalau bukan masa kita hidup, mungkin juga selepas kita mati nanti. Penulisan mampu menjadi artifak sejarah dimasa akan datang dan munkin penulisnya adalah kita...!!!!!

Jadi saya amat menyeru kepada sahabat-sahabat yang masih bercongak-congak untuk memulakan bidang penulisan ini, saya kira inilah detik dan ketikanya yang terbaik. Bagi muslim, kita memang telah dididik untuk membudayakan suka membaca. Seperti mana yang telah diturunkan wahyu pertama kepada Baginda. Rasanya, kita perlu mengambil langkah yang lebih jauh dari itu iaitu kita pula menjadi penghasil karya-karya bacaan dalam bentuk elektronik. Tidak salah rasanya kerana kalau bukan kita, siapakah lagi???


"Orang-orang yang suka berkata jujur mendapatkan tiga hal, kepercayaan, cinta, dan rasa hormat" - Saidina Ali bin Abi Thalib

Tuesday, August 26, 2008

Kuasa di tangan anda

Sedar atau tidak, di mana-mana kampus sekali pun, sekarang ini adalah musim untuk kebanyakan kelab ataupun persatuan untuk mengadakan perjumpaan tahunan mereka ataupun sinonimnya kita panggil Annual General Meeting (AGM). Matlamat perjumpaan ini adalah jelas, iaitu untuk memilih tampuk kepimpinan yang baru untuk menerajui halatuju kelab ataupun persatuan itu sendiri. Ahli-ahli akan berkumpul untuk bermuhasabah seketika apa yang telah mereka lakukan sepanjang kepimpinan yang lepas sebelum mandat kepimpinan itu diserahkan kepada pimpinan yang baru dengan penuh adab dan tertib. Kepentingan memilih ketua adalah amat jelas bagi sesuatu organisasi memandangkan orang ini akan bertanggungjawab sepenuhnya atas segala keputusan dan tindakan yang diambil. Justeru itu ahli amatlah berperanan dari peringkat awal untuk memastikan mereka yang terpilih adalah benar-benar layak dan teguh dari sudut ilmu, pengalaman dan pendiriannya.

Memandang kepada kepentingan memilih pimpinan yang baru, penulis merasakan terdapat dua hujah yang harus dipandang berat mengapa pemilihan ketua ini haruslah berada di landasan yang betul, yakni pemimpin yang benar-benar layak sahaja yang harus dinaikkan.

Hujah yang pertama ialah pemimpin yang naik itu sendiri akan menjadi pasak kepada organisasi itu sendiri untuk terus utuh dan memacu halatuju organisasi. Ibarat kapal tanpa nakhoda, sudah tentu kapal itu tidak akan sampi ke destinasinya. Begitulah peranan pemimpin itu dalam organisasi mereka. Mereka ini yang akan menetapkan dasar. Mereka ini yang akan merancang strategi. Meraka ini yang akan memastikan segala agenda organisasi. Dan yang lebih penting mereka inilah yang akan menjadi pencorak kepada segala gerakan di hari yang akan mendatang. Mereka haruslah prihatin kepada semua perkara. Dari sebesar-besar perkara, hinggalah kepada sekecil-kecil perkara.Visi, misi, strategi adalah perkara lumrah dalam merancang. Namun sebagai pemimpin, bukan hanya sekadar itu. Kebajikan ahli, kebersamaan ahli, keberkatan dalam bekerja, nilai-nilai kemanusiaan yang harus di perjuangkan dan macam-macam lagi yang kebanyakan dari kita sering terlepas pandang. Seharusnya orang-orang yang telah dinaikkan ini, bersifat lebih terbuka dan matang dalam melihat hala tuju sebenar mereka.

Hujah yang kedua yang menyokong kepentingan menjadi seorang pemimpin adalah mereka ini bakal menjadi contoh, qudwah dan ikutan kepada ahli yang lain secara khususnya dan kepada masyarakat sekeliling secara amnya. Mereka ini akan dilihat sebagai ikon dikalangan masyarakat sosial. Apa sahaja yang dilakukan,diperkatakan dan diperlihatkan sentiasa menjadi perhatian umum. Seandainya buruk contoh ini, maka buruk jugalah yang lain. Namun seandainya baik contoh ini, maka baiklah semua yang lain. Janganlah kita menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan. Jauh sekali jika pemimpin mengharapkan anak buah akan menjadi insan yang terbaik jika teladan yang ditnjukkan bukanlah sebaik yang diharapkan. Sejarah telah membuktikan yang mereka yang hebat dari segi kepimpinan ini akan menjadi ikutan sepanjang zaman. Pemimpin teragung dunia, Muhammad Bin Abdullah, qudwah yang diperlihatkan sehingga kini dan selamanya akan menjadi ikutan oleh kebanyakan orang.

Sedarlah wahai sahabat, jangan sesekali kita melatah dalam memilih pemimpin kita. Jangan kita mudah menyokong tanpa pengetahuan yang cukup. Jauh sekali jika berniat untuk menganiaya orang yang lain. Jika anda mengambil enteng soal kepimpinan ini, tika mana organisasi anda tempang tidak bertongkat, maka masa itulah penyesalan tidak berguna lagi buat semua. Kita sememangnya dilahirkan untuk memimpin. Tapi siapakah yang dapat merasakan erti sebenar kelahiran mereka ini dalam menjadi penyumbang dalam masyarakat di sekeliling mereka ??? Fikir-fikirkanlah……Ayuh semua, perkasakan organisasi anda dengan pemimpin yang benar-benar menghayati erti kepimpinan itu sendiri….

"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat" - Khalifah Abdul Malik bin Marwan